Lelaki disyaratkan melindungi wanita, hindari kekerasan. Dalam
institusi perkahwinan, lelaki ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah
kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding
wanita. Tanggungjawab lelaki sebagai ketua (pemimpin) kepada perempuan
ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud:
"Lelaki
ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian
mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki
selepas menafkahkan sebahagian daripada harta mereka." (Surah an-Nisa,
ayat 34)
Islam mensyaratkan
lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita.
Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan,
kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka. Islam melarang sama sekali kekerasan dalam rumah tangga. Rasulullah memberi ingatan dengan sabda bermaksud:
"Mengapa
ada lelaki di kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul
seorang hamba, padahal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari
lain." (Hadis riwayat Ahmad).
Isteri mempunyai hak untuk
mendapat layanan sebaik-baiknya. Pada suatu ketika, ramai isteri datang
menemui isteri Rasulullah mengadu mengenai layanan buruk yang diterima
daripada suami mereka. Apabila Rasulullah mengetahuinya, baginda pun
bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya ramai wanita datangmenemui
isteriku mengadu mengenai suami mereka. Sesungguhnya suami kepada
wanita itu bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan kamu." (Hadis
riwayat Abu Daud).
Rasulullah
memberi contoh bagaimana menjadi seorang suami yang baik. Rasulullah
sering menolong isterinya melakukan kerja di rumah yang baginda dapat
melakukan sendiri seperti menjahit baju yang koyak, memasak,
membersihkan laman dan kerja lain. Sifat ringan tangan suami membantu
isteri melakukan kerja rumah bukan semata-mata meringankan tugas isteri,
tetapi menimbulkan rasa hormat isteri. Isteri berasakan dirinya lebih
disayangi dan dihormati.
Amalan melakukan kerja rumah
secara bersama dapat membentuk kerjasama, persefahaman, keceriaan dan
menghargai apa yang dilakukan bersama-sama. Suami yang
sama-sama membersihkan rumah tentu tidak akan melakukan perbuatan yang
menyebabkan keadaan menjadi kotor. Bagaimanapun, ramai suami yang secara
sengaja mengotorkan kawasan rumah dengan habuk dan puntung rokok yang
dibuang merata-rata dan kemudian menyuruh si isteri pula
membersihkannya.
Melakukan kebaikan kepada isteri adalah
sebahagian tanda muslim sejati. Suami yang baik sedar bahawa dirinya
menanggung amanah besar dalam soal menjaga kepentingan isteri. Sabda
Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Orang yang baik antara kamu
adalah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang
paling baik terhadap isteri dari kalangan kamu." (Hadis riwayat
at-Tirmizi).
Sikap baik
sebenarnya bukan terhad kepada isteri. Semua orang berhak dilayan dengan
baik, terutama ahli keluarga dan sesiapa yang diamanahkan kepada kita
menjaganya. Orang gaji dan sesiapa yang tinggal bersama kita perlu
dilayan dengan sebaik-baiknya. Sikap baik Rasulullah terhadap isteri
diakui oleh isteri baginda, Siti Aisyah. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Aisyah pernah berkata:
"Rasulullah tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya."
Menjaga dan berbuat baik terhadap isteri juga dilakukan dengan cara menyediakan apa yang suami mampu untuk dirinya,
maka itulah juga seharusnya untuk isteri. Adalah menjadi hak isteri
mendapat pemberian yang mampu disediakan oleh suaminya. Sabda Rasulullah
SAW bermaksud:
"Tanggungjawab suami terhadap isterinya
adalah apabila kamu makan, hendaklah kamu beri makanan untuk isterimu.
Apabila kamu memakai pakaian, kamu berikan pakaian untuk isterimu.
Jangan kamu pukul isterimu pada bahagian muka. Jangan kamu keluarkan
perkataan yang jahat di hadapannya iaitu perkataan yang menyakiti hati
dan dibenci. Jangan kamu tinggalkan isterimu seorang diri kecuali dalam
rumah." (Hadis riwayat Abu Daud)
Islam
menggesa si suami agar berurusan dan bermuamalah bersama isteri dengan
adab yang baik, memandangkan pertimbangan akal kaum wanita dianggap
kurang berbanding kaum lelaki. Allah befirman di dalam al-quran:
"Gauli mereka dengan adab yang baik." (An-Nisa': ayat 19)
Ini
merangkumi tutur kata yang lunak, bersikap adil bersama isteri
sekiranya si suami berpoligami, memberi nafkah, bermesyuarat dengan
isteri dalam urusan rumahtangga, menutup kelemahan isteri dan lain-lain
lagi. Mengelak daripada mengatakan perkara buruk terhadap isteri adalah
sebahagian sikap baik yang perlu diamalkan oleh suami. Ada suami yang
sering dan gemar mengeluarkan perkataan tidak enak terhadap isteri
disebabkan sesuatu perkara tidak disenangi. Perkataan buruk yang
dikeluarkan terhadap isteri juga satu penderaan iaitu penderaan mental.
Isteri yang selalu diherdik, dihina dan dimarahi akan menghadapi tekanan
perasaan dan mudah timbul perasaan takut untuk berdamping dengan suami.
Sesiapa yang suka mengamalkan sikap bengis dan suka menakut-nakutkan
isteri dengan perkataan kasar akan terlepas daripada rahmat Allah dan
menanggung kerugian di dunia dan akhirat.
Sesungguhnya
Rasulullah sallallahu'alaihi wa sallam adalah teladan yang paling baik.
Meskipun baginda membolehkan memukul isteri setelah nasihat dan
memulaukannya di tempat tidur tidak berkesan, namun baginda tidak pernah
memukul isterinya. Islam mengharuskan suami memukul isteri dengan
pukulan ringan yang tidak menyakitkan walaupun ke atas bayi, sekadar
amaran agar si isteri tidak mengulangi kesilapannya. Islam telah
menetapkan garis panduan yang cermat berkaitan keharusan memukul, agar
tidak mendatangkan mudharat lain yang tidak diundang, seperti menegah
memukul bahagian muka serta jangan memukul dengan pukulan yang
mencederakan. Pukulan ini juga dibenarkan setelah isteri dipisahkan
tempat tidur dan masih belum bersedia untuk mengubah tabiat buruknya.
Rasulullah
sentiasa menjaga perasaan para isteri baginda dan pandai menambat hati
mereka dengan bergurau senda dan bermesra. Rasulullah menggesa para
suami agar bijak menyesuaikan diri,ketika berada di samping isteri.
Rasulullah bersifat keanak-anakan ketika berada di samping isteri
baginda, meskipun baginda seorang pahlawan yang handal di medan jihad.
Sememangnya
wanita suka dimanjai dan dibelai. Rasulullah mengkehendaki para suami
agar pandai meletakkan taraf dirinya sedarjat dengan isteri, untuk
mengelakkan rasa canggung dan janggal ketika bersama isteri. Pernah
diriwayatkan dalam sunan Abu Daud dan Al-Nasa'ie, Rasulullah berlumba
lari dengan isteri baginda Saidatina Aisyah. Meskipun Rasulullah pesuruh
Allah yang sibuk dengan urusan menyebarkan dakwah dan berjuang di medan
jihad, namun baginda masih ada kelapangan untuk bermesra bersama isteri
baginda dan ini bukanlah suatu yang menyalahi etika. Rasulullah
bersabda di dalam riwayat Tarmizi dan Muslim:
"Mukmin yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan paling berlemah lembut bersama isterinya."
Islam
menggambarkan mukmin yang paling sempurna ialah mereka bijaksana
melayani isteri dan berbudi pekerti mulia. Satu contoh petunjuk Rasul
yang menggambarkan baginda beradab sopan bersama isteri baginda ialah
hadis yang diriwayat oleh Ibn Abi Dunya, Saidatina Aisyah memberitahu
bahawa:
"Segala urusan dan perlakuan Baginda amat
menakjubkan, sehingga ketika baginda bersama isterinya pada suatu malam
dan telah bersentuhan kulit, baginda meminta izin dari isterinya Aisyah
untuk beribadat menemui Tuhannya."
Demikianlah adab Rasul bersama isteri baginda, meminta izin untuk meninggalkannya meskipun untuk bertemu Tuhan.
Berikut
saya sertakan pautan soal jawab agama bersama Dr Yusuf Al-Qardhawi
berkenaan"Hak Isteri Ke Atas Suami'' dalam aspek kejiwaan yang
memberikan impak besar kepada kebahagiaan dan ketenangan sesebuah
rumahtangga: sila klik di sini.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment