04 February 2012

Malaikat amin doa adik beradik

MALAIKAT dicipta oleh Allah untuk melaksanakan perintah-Nya dalam pelbagai bidang. Misalnya, antara malaikat yang ditugaskan memberi penghormatan kepada penuntut ilmu agama.



Hal ini dijelaskan dalam hadis daripada Abu ad-Darda' bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesungguhnya malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)

Penuntut ilmu agama ialah bakal mubaligh Islam yang akan menjalankan tugas tabligh untuk menyebarkan agama Allah seperti yang diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya .

Dalam hadis ini, Baginda menyatakan bahawa malaikat amat menghormati penuntut ilmu agama kerana menghargai tugas mereka yang mulia itu.

Antara malaikat juga, ada yang ditugaskan mengucapkan Amin bagi doa seseorang yang memohon kebaikan untuk saudaranya dengan tidak setahunya.

Daripada Abu ad-Darda' bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang berdoa bagi saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya, berkatalah malaikat yang ditugaskan untuk itu: Amin, dan engkau pula akan beroleh seperti itu juga." (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Doa seorang Islam kepada saudara Islamnya yang lain dengan harapan semoga dia beroleh kebaikan atau terselamat daripada bencana dituntut oleh syarak, sama ada dengan setahu orang yang didoakan itu atau tidak.

Dalam hadis ini, Rasulullah menerangkan bahawa doa seseorang untuk saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya itu, malaikat turut mengaminkan semoga doanya dikabulkan Tuhan serta menggembirakannya.

Orang itu juga akan beroleh kebaikan yang sama kerana menghargai keikhlasan hatinya mendoakan saudaranya.

Ada juga malaikat yang ditugaskan memberi ilham kepada manusia.

Ini dijelaskan daripada Ibn Mas'ud bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan malaikat juga ada bisikannya.

“Ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran dan bisikan malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaran.

“Oleh itu, sesiapa yang berasa bisikan yang baik, maka hendaklah dia mengetahui bahawa perkara itu daripada Allah, serta hendaklah dia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang berasa bisikan yang satu lagi, maka hendaklah dia meminta perlindungan Allah daripada angkara syaitan." (Hadis at-Tirmizi dan Nasa'i)

Setiap manusia ada mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya.

Dalam hadis ini, Rasulullah menyatakan bahawa ada malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran. Perkara itu sama seperti syaitan membisik-bisikkan lintasan jahat ke dalam hati manusia untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.

Lintasan perasaan yang dipancarkan oleh malaikat ke dalam hati manusia untuk melakukan perkara baik itulah yang dinamakan ‘ilham’.

Ada pun bisikan yang mendorong manusia melakukan perkara yang jahat, tidak sekali-kali dinamakan ilham, bahkan dinamakan ‘was was daripada jin syaitan’ yang diperintahkan kita memohon perlindungan daripadanya seperti yang disebut dalam surah an-Nas.

Oleh itu, tiap-tiap seorang apabila berasa sesuatu lintasan hati, hendaklah lebih dahulu dipertimbangkan dengan neraca syarak. Jika bersesuaian, hendaklah dikerjakan dan jika tidak, hendaklah berhenti daripada meneruskannya.

Ada juga malaikat yang ditugaskan melaknat orang yang mengacukan senjata kepada yang bukan musuhnya pada syarak.

Perkara itu dijelaskan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda: "Sesiapa yang mengacukan kepada saudara Islamnya dengan sebarang senjata yang membahayakan, maka sesungguhnya malaikat akan melaknatnya, sekalipun yang diacukan kepadanya itu saudaranya yang seibu sebapa." (Hadis riwayat Muslim dan at-Tirmizi)

Kegunaan senjata hanya untuk menghadapi musuh pada syarak, bukan untuk ditujukan kepada orang yang diwajibkan kita bersikap aman damai terhadapnya.

Dalam hadis ini, Rasulullah menyatakan bahawa perbuatan mengacukan senjata kepada orang yang bukan musuh, walaupun orang itu saudara kandung atau hanya dengan tujuan olok-olok dan bergurau, maka hukumnya bukan saja dilarang keras dalam Islam bahkan dilaknat oleh malaikat.

Perkara sedemikian kerana perbuatan berbahaya itu bertentangan dengan tujuan penggunaan senjata.

Antara malaikat ada yang ditugaskan melaknat sesiapa yang menyeksa haiwan.

Dalam hal ini, daripada Ibn Umar, Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang menyeksa haiwan dengan mengerat, mengoyak, mencabut atau mengelar mana-mana anggotanya, maka ditimpakan atasnya laknat Allah dan malaikat serta manusia semuanya." (Hadis riwayat Tabarani)

Haiwan juga berasa sakit seperti manusia apabila mana-mana anggota badannya dipukul, ditikam dan sebagainya.

Oleh itu, maka setiap manusia hendaklah menaruh perasaan belas kasihan kepada haiwan. Jangan sekali-kali melakukan perbuatan yang menyakitkan badan atau anggotanya dengan apa cara pun jika tidak ada sesuatu sebab yang memerlukan.

Dalam hadis ini, Rasulullah menyatakan bahawa orang yang melakukan perbuatan kejam dan ganas itu dilaknat oleh Allah dan malaikat-Nya serta seluruh umat manusia yang berperikemanusiaan.

Oleh kerana perbuatan yang ganas itu bertentangan dengan perikemanusiaan, maka di sana sini wujud jam'iyah atau pertubuhan yang bertujuan melindungi dan menjaga keselamatan haiwan yang tidak berdosa itu.

Malaikat juga ada yang ditugaskan melaknat orang yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu.

Hal ini diterangkan daripada Ali bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh malaikat langit dan bumi." (Hadis riwayat Ad-Dailami dan Ibn `Asakir)

Memberi fatwa mengenai sesuatu masalah agama hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan mengenainya. Jika tidak, maka tentu fatwa itu akan membawa kepada penyelewengan dalam hukum agama.

Dengan sebab itu, orang yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan syarak, dimurkai Allah dan dilaknat oleh malaikat seperti yang dinyatakan Rasulullah dalam hadis ini.

No comments:

Post a Comment