Pertunangan bermaksud perjanjian yang dibuat oleh pasangan untuk
melangsungkan perkahwinan. Ia adalah satu sunnah yang dituntut dalam
Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada isteri
baginda Aisyah Binti Abu Bakar dan Hafsah Binti Umar. Dengan
berlangsungnya ikatan pertunangan tersebut, maka tergalaslah sebuah
komitmen yang tidak rasmi pada diri seorang lelaki dan wanita yang belum
berkahwin untuk mengenal hati budi masing-masing.
Islam
membenarkan pertunangan sebagai cara untuk pasangan yang ingin
berkahwin mengenali bakal isteri dan suami termasuklah ahli keluarga
mereka sama ada dari segi fizikal dan mentaliti. Jadi sudah tidak hairan
lagi pada kita jika ramai pasangan yang bercinta pada hari ini
melangsungkan pertunangan sebelum mereka berganjak ke gerbang
perkahwinan. Tapi silapnya pada masa kini, fitrah pertunangan ini
sudah menjadi fitnah.
[B]Konsep Pertunangan[/B]
Menurut
konsep pertunangan dalam Islam yang sebenarnya, sesebuah pasangan
perlu bertunang terlebih dahulu sebelum berkenalan dengan lebih rapat
dengan pilihan hati mereka. Ia tidak lain adalah untuk menjaga kesucian
sebuah perhubungan agar diredhai oleh Allah. Namun, yang berlaku pada
hari ini adalah sebaliknya. Selepas berkenalan dengan pasangan
masing-masing dan berpuas hati dengan sikap, perangai dan tingkah laku
barulah mereka mengikat tali pertunangan. Ia sekadar menjadi petanda
seseorang itu sudah mempunyai pemilik.
Bertunang
tiada bezanya dengan bercinta. Ramai yang tersalah tafsir dengan adanya
ikatan pertunangan, maka mereka mempunyai lesen untuk berdua-duaan,
berpegang-pegangan dan melakukan pelbagai aktiviti bersama. Sememangnya
dalam tempoh bertunang pasangan dibenarkan untuk mengenali dengan lebih
mendalam tentang diri pasangan dan pada waktu inilah mereka perlu
memanfaatkan masa yang ada untuk berkenalan tetapi kita perlu ingat,
jangan sampai ia melanggar syariat yang digariskan oleh Islam.
[B]Jauhi Perkara Zina[/B]
Kebanyakan
umat Islam hari ini menganggap penzinaan itu adalah semata-mata
melakukan persetubuhan haram. Sebenarnya, bukan perbuatan zina itu
sahaja yang dilarang keras tetapi kelakuan dan tindak tanduk yang
mendorong berlakunya perbuatan tersebut. Maksud perkataaan zina itu luas
yang mana meliputi semua aspek perlakuan. Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud, "Zina kedua-dua mata itu memandang perempuan yang ajnabi,
zina kedua-dua telinga itu mendengar, zina kedua-dua tangan itu
menyentuh, zina kedua-dua kaki itu melangkah dan zina hati itu
mengingini dan menangan-angankannya." (Hadis Riwayat Bukhari &
Muslim)
Jelaslah kepada kita semua perlakuan dalam
perhubungan antara lelaki dan perempuan yang sudah akil baligh dan
bukan mahram termasuklah yang sudah bertunang atau tidak, melainkan yang
sudah berkahwin adalah dikira zina. Ia adalah perkara-perkara yang
membuka peluang dan menimbulkan dorongan sekali gus memberi laluan mudah
kepada pasangan bertunang untuk melakukan permulaan zina. Ini kerana,
mereka telah meletakkan diri mereka berdua-duaan di suatu tempat dan
seterusnya mendorong melakukan kemuncak kepada perbuatan yang terkutuk.
Apabila berdua, maka akan ada yang ketiga.
Rasulullah
SAW telah bersabda, "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan
wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah
syaitan." (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
[B]Ramai Bersubahat[/B]
Larangan
berdua-duaan dan perlakuan yang membawa kepada perbuatan zina itu bukan
sahaja ditujukan kepada pasangan yang bertunang sahaja tetapi
termasuklah orang-orang sekeliling yang turut terbabit atau bersubahat.
Ramai antara kita yang tidak sedar bahawa mereka secara tidak langsung
terlibat dengan perlakuan yang hampir kepada zina. Contohnya dalam
kalangan ibu bapa yang sengaja membiarkan anak-anak teruna dan gadis
mereka keluar berdua-duaan. Kononnya, ibu bapa yang 'sporting' dan
memberi kebebasan serta kepercayaan kepada anak-anak mereka.
Kerana
ceteknya ilmu agama dan terpengaruh dengan amalan dan budaya sosial
Barat yang moden dan terkini, mereka tidak mahu dipandang kolot dan dan
dilihat alim. Ramai yang menganggap apa yang mereka lakukan itu adalah
perkara biasa dan sudah menjadi tradisi malah selari dengan zaman moden
sekarang ini. Tambahan pula, ada ibu bapa yang sengaja membiarkan
anak-anak berdua-duaan dengan tunang dan kekasih mereka kerana
mengingatkan manisnya zaman percintaan mereka semasa muda dahulu dan
ingin anak-anak mereka merasai nikmat alam percintaan sebagaimana mereka
dahulu.
[B]Bertunang Bukan Tiket Buat Maksiat[/B]
Fenomena
keruntuhan akhlak yang berlaku dalam kalangan muda mudi sekarang
khususnya yang beragama Islam boleh menyebabkan merebaknya kelahiran
anak luar nikah dan sebagainya. Itu adalah antara bukti-bukti penerimaan
ibu bapa dan masyarakat sekeliling kepada aktiviti berdua-duaan pada
pasangan bertunang. Jangan biarkan diri terhantuk baru tengadah.
Sedarlah, pengaruh budaya barat dalam bidang sosial ini harus dianggap
sebagai virus berbahaya yang merosakkan budaya Islam sekaligus
meruntuhkan kekuatan umat Islam.
Oleh itu,
walaupun sudah bertunang, jangan anggap ia sebagai tiket untuk
berdua-duaan dan menghalalkan segala bentuk perhubungan sebagaimana
suami isteri. Pastikan jalinan hubungan cinta itu tidak melanggar hukum
Allah dengan tidak ada pergaulan bebas, tidak berdua-duaan, tidak
mendedahkan aurat, tidak meninggalkan solat dan sebagainya. Jangan
jadikan hubungan tersebut perkara yang melalaikan dan merugikan. Kita
masih belum menjadi hak milik pasangan kita sepenuhnya. Jagalah maruah
agama, diri dan keluarga. Jangan disebabkan racun dalam percintaan ini
disangka baja dan mampu menyuburkan hubungan yang dibina berkekalan
kerana setiap apa yang berlaku berbalik kepada ketentuan Allah.
Cinta
yang suci dan terpelihara pasti akan membawa pasangan yang sudah
bertunang ke gerbang perkahwinan sehingga kemanisannya dan
kebahagiaannya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ketika itulah
fitrah menjadi anugerah.
No comments:
Post a Comment