“Assalamualaikum, maaf cikgu, saya lambat”, kata Aisyah yang
terlambat ke kelas tambahannya pada petang itu. Cikgu Alif hanya
tersenyum dan memberikannya helaian kertas latihan. Aisyah mengambil
tempat duduk berhampiran dengan sahabat baiknya.
Firdaus
yang dari tadi hanya tertunduk cuba meyakinkan hatinya yang dia tidak
mempunyai apa-apa perasaan terhadap Aisyah. Lama sudah dia memendam
rasa. Dia sedar siapalah dia dibandingkan dengan Aisyah, seorang gadis
yang cantik, bijak dan beragama.
Sepanjang mengenali
Aisyah, jarang-jarang sekali dia melihat Aisyah berbual dengan lelaki
lain, pakaiannya juga sentiasa menutup aurat, Perilakunya lemah-lembut,
senyumannya manis. Itulah yang menarik hati Firdaus. Sedangkan Firdaus
hanya seorang pelajar yang rendah akhlaknya, dia sendiri mengakui hal
itu.Biarpun menuntut di sekolah agama, tetapi solatnya entah ke mana dan
waktu-waktunya sering disibukkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
Suatu
petang,Firdaus duduk berehat di halaman rumahnya sambil membaca majalah
hiburan, dia memang tidak pernah ketinggalan dari segi hiburan.
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara seorang perempuan memberi salam.
Firdaus menghampiri pintu pagar. Hampir terkeluar biji matanya melihat
Aisyah sedang berdiri sambil memegang bungkusan yang tidak tahu apa
isinya.
“Ganggu ke? Maaf lah..ni mak saya suruh hantar kepada mak awak. Asyraf pulang ke kampung .”Firdaus hanya membalas dengan ucapan terima kasih. Mereka berbalas salam dan Aisyah berlalu pergi.
Asyraf... apakah kaitan Aisyah dan Asyraf? Semalaman
Firdaus memikirkan perkara tersebut. Asyraf adalah rakan baiknya di
kelas tambahan. Tetapi tidak pernah pula Asyraf menyebut tentang Aisyah.
Dia akhirnya terlena. Dalam lenanya Aisyah bertandan lagi, cukup indah
sekali baginya.
Keesokan paginya dia bangkit, bangkit dengan satu
azam! Ya. Dia telah bertekad. Dia mahu meluahkan perasaannya kepada
Aisyah. Dia mahu memiliki Aisyah. Tidak mahu terlambat, Aisyah tidak
boleh dibiarkan jatuh ke tangan orang lain.Terketar-ketar tangannya
menaip mesej menghulurkan salam perkenalan kepada Aisyah.
Seketika
kemudian telefonnya berbunyi. Menandakan ada mesej yang diterima.
Alangkah gembiranya dia apabila salam perkenalannya disambut mesra.
Mereka terus berbalas mesej selama beberapa hari.
Bagi Aisyah
tiada salahnya hanya berkawan. Tidak pula dia sedari maksud sebenar
Firdaus. Aisyah juga mengagumi wajah tampan Firdaus, tetapi perasaan itu
disembunyikan daripada sesiapa pun. Aisyah yakin dia pasti akan diejek
lantaran perwatakan buruk Firdaus. Tiga hari selepas perkenalan mereka,
Firdaus berjaya mengumpul kekuatan untuk meluahkan rasa hatinya kepada
Aisyah.
“Saya nak tanya awak satu soalan, boleh?, “Apa dia?”, Aisyah membalas ringkas.
“Kalau saya nak couple dengan awak, awak nak tak?”, Terasa hampir gugur jantung Aisyah tatkala membaca mesej Firdaus itu.
Tidak disangka sejauh itu niat Firdaus. Dia buntu memikirkan jawapannya. Memang sepatutnya dia menjawab
“tidak” dengan tanpa ragu- ragu. Bukan dia tidak tahu
couple itu hukumnya haram. Tetapi hatinya terus mendesak untuk dia berkata ya.
Firdaus
juga sudah berjanji untuk berubah jika Aisyah menerimanya. Dia meminta
masa selama tiga hari daripada Firdaus untuk memberikan jawapan. Firdaus
pula hanya bersetuju. Tetapi sebenarnya Firdaus hairan kerana sebelum
ini gadis-gadis yang
”dilamarnya” pasti akan bersetuju tanpa berfikir panjang.
Tempoh
tiga hari yang dipinta Aisyah sudah berakhir. Firdaus menghantar mesej
meminta jawapan daripada gadis itu. Aisyah sudah bersedia dengan
jawapannya. Firdaus menanti dengan penuh debaran sama ada dia dapat
memiliki gadis yang dicintai dan dikaguminya. Telefon bimbitnya berbunyi
lagi. Terketar-ketar tangan Firdaus membuka mesej.
“Maaf, saya tak boleh. Saya tak tahu kenapa tetapi saya rasa takut.”
Firdaus
hanya terkebil-kebil. Spontan jarinya menaip mesej.” Tapi kenapa?” dan
mesejnya dibalas “ Sabda Rasulullah s.a.w “Barang siapa yang jatuh
cinta, lalu menyembunyikannya dan memelihara kesucian dirinya serta
bersabar sampai dia meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang mati
syahid.”
“Kuno betul...macam orang tua dulu-dulu je.
Kau ingat kau cantik dan baik sangat ke? Sombong...memilih pulak. Jadi
anak dara tua nanti baru kau tahu!”, bentak Firdaus dalam mesejnya.
Aisyah
merenung telefon bimbitnya, dan tanpa disedari air matanya menitis.
Bukan dia menyombong, dan bukan pula dia memandang rendah pada Firdaus.
Sejujurnya
ada perasaan cinta yang dipendam, namun dia lebih cintakan Allah, Allah
tetap cinta utamanya. Dia nekad untuk membuat perubahan dalam diri dan
mengabaikan cinta dunia buat masa ini. Banyak lagi yang perlu
diutamakan. Dia sedar masih jauh perjalanannya.
Setahun
berlalu, Firdaus masih hanyut dalam dunianya sendiri. Dia masih belum
dapat melupakan Aisyah. Baginya Aisyah seorang yang terlalu ekstrem
dalam agama sehinggakan untuk ber
couple pun dia takut, sedangkan pada zaman ini ber
couple adalah trend masa kini. Baginya mereka masih boleh bercouple dan dalam masa yang sama, menjaga ada dan batas pergaulan mereka.
.
Suatu
hari, Fitri, abang kepada Firdaus yang seorang pelajar perubatan di
University of Bristol,UK pulang bercuti. Firdaus dan Fitri memang amat
rapat sejak mereka kecil lagi namun kedua mereka mempunyai sikap yang
sangat berbeza. Malam itu Firdaus datang ke bilik Fitri untuk
berbual-bual dan melepaskan rindu. Firdaus berbaring di katil Fitri
sambil termenung memandang syiling sementara menunggu Fitri yang sedang
mandi.
Dari laptop Fitri lagu
"UNIC-Atas Nama Cinta” berkumandang memenuhi ruang kamar itu. Firdaus hanya menikmati iramanya tanpa menghayati maknanya.
Tika mata
Diuji manisnya senyuman
Terpamit rasa menyubur harapan
Dan seketika
Terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa singkat perjalanan
Tersedar aku dari terlena
Dibuai lembut belaian cinta
Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Enggan ku keasyikan
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih sempuna
Bukan mudah
Bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba
Menghindarkan pesona maya
Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murka-Nya menghukum leka
Diatas nama cinta
Pada yang selayaknya
Kunafikan yang fana
Moga dalam hitungan
Setiap pengorbanan
Agar disuluh cahaya redhaNya
Biar sendiri hingga hujung nyawa
Asal tak sepi dari kasih-Nya
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa
Saratkan hati ini dengan cinta hakiki
Sehingga ku rasai
NikmatNya
SyurgaNya
CintaNya....
Tersentak
Firdaus mendengar bait-bait kata lagu itu, seperti ada kaitan dengan
dirinya. Bayangan Aisyah muncul di fikirannya, dia memainkan semula lagu
itu dan kini dia betul-betul menghayati maksudnya. Pelbagai persoalan
bertandang di kotak mindanya.
Sebaik sahaja Fitri selesai mandi, Firdaus segera bertanya kepada abangnya:
“Pit, kau kat sana tak ada girlfriend ke?”
“Hish kau ni, studytak habis lagi nak ada girlfriend apanya”.
“Kawan-kawan kau pun tak ada girlfriend?”
"Kawan-kawan aku adalah yang dah ada girlfriend.”
“Habis tu kau tak nak ada girlfriend? Muka kacak tak kan tak ada orang nak ? Ke sikit je Melayu kat sana?”
“Orang Melayu ramailah jugak. Tapi aku rasa ibu dan ayah tak bagi kot aku kahwin sekarang.”
“Pit! Alamak Pit. Aku bukan suruh kau kahwin la. Aku tanya ada tak kau couple dengan siapa-siapa.”
“Hish...Aku faham kau bukan suruh aku kahwin. Tapi tiada hubungan yang sah sebelum kahwin. Jodoh kita Allah dah tentukan.”
“Tapi kita kena lah cari,kan? Takkanlah jodoh datang macam tu je kat depan muka pintu?”
“Memang
lah jodoh kena cari, tapi cari dengan cara yang diredhai Allah. Always
remember my brother, matlamat tak menghalalkan cara. Tak pernah...”
“Habis tu macam mana nak jumpa jodoh kalau macam tu?”
Firman Allah SWT:
Wanita-wanita
yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji
adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik
adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk
wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari
apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan
dan rezeki yang mulia (syurga).[Surah An Nur, ayat 26]
“Wow. Kau pergi sana jadi ustaz ke? Habis tu maksudnya aku akan dapat perempuan tak baik la? Sebab aku ni macam jahat je.”
“Mungkin ya, mungkin tidak. Allah yang merancang. Kadang-kala Allah jadikan sebaliknya untuk kita saling melengkapi.”
“Kau nak isteri macam mana Pit ?”
“Kalau boleh aku nak isteri yang cintakan aku, rindukan aku..Dan semuanya kerana Allah.”
“Aduhai... hahaha! Lawaknya. Habis tu kalau tak cantik macam mana?”
“Cantik
tu subjektif la. Bagi aku cantik yang sebenarnya tu cantik dalaman.
Because it will never fade away. Kalau kau sayang dia sebab cantik
luaran semata-mata, kecantikan tu tak kekal, cuba kau bayangkan muka dia
masa umur 80-an, kau sayang dia lagi tak agak-agaknya masa tu? Sebab tu
bukan perkara main-main nak cari isteri, kena minta pandangan Allah.
Insyaallah boleh berkasih-sayang sampai ke syurga. Jadi ketua bidadari
aku kat syurga nanti. Rumahtangga pun diberkati.”
“Habis tu kalau couple tu jahatlah?”
“Allah
larang kita bercouple. Kenapa? Nah. Baca artikel ni” Kata Pit sambil
menghulurkan helaian artikel yang menjelaskan hukum couple.
“Rasulullah
SAW pun pernah bersabda, kalau kita mengahwini seorang perempuan kerana
agamanya, nescaya beruntunglah kita, insyaAllah”, pesan Fitri lagi.
“Oh...okey. Apa-apa pun, terima kasih ye. Okey lah Pit, aku nak tidur dah ni. Selamat malam.”
Malam
itu tidur Firdaus tidak lena. Artikel itu pun sudah beberapa kali
dikhatamnya. Rasanya dia sudah faham mengapa Aisyah menolak cintanya.
Rasanya Aisyah seorang yang berpandangan jauh. Jauh sampai ke akhirat,
bukan untuk dunia semata-mata.
Semalaman dia tidak dapat
tidur. Dia melangkah ke bilik Fitri untuk berbual lagi dengan abangnya
itu. Dia tidak pasti sama ada Fitri sudah tidur atau belum. Jam
menunjukkan sudah pukul tiga pagi.Jika dahulu, Fitri masih mentelaah
pelajaran waktu ini. Berhati-hati pintu bilik Fitri dikuak, kelihatan
Fitri sedang berteleku di atas sejadah.
Perlahan-lahan Firdaus menghampiri Fitri yang sedang khusyuk berdoa dalam esak tangis. Dalam doanya dia menyebut:
“
Ya Allah ya Tuhanku... KasihMu sentiasa segar dalam setiap hembusan
nafasku. Betapa lemahnya hambaMu ini. kepadaMu kelak tempatku kembali,
janganlah kau biarkan cintaku terhadap dunia yang menipu daya ini
melebihi cintaku padaMu.”
Jantung Firdaus mulai berdegup
kencang semasa mendengar luahan hati Fitri di dalam doanya. Firdaus
segera berlari menuju ke biliknya, dia menangis sepuas hati , entah dari
mana datangnya air mata yang begitu kuat sekali mengalir membasahi
pipinya, dia juga kurang pasti. Yang dia tahu hatinya terasa tidak
tenang, dia mempunyai segala-galanya namun masih terasa kekosongan.
Terasa
betapa jauhnya dia dari Tuhan. Betapa lemahnya dia. Dia mengambil wuduk
dan menghamparkan sejadah, berhabuk sejadah itu diselaputi
kejahilannya. Dia menunaikan solat fardhu Isyak. Hatinya berasa sedikit
tenang.
Esoknya, pagi-pagi lagi dia telah berjumpa Fitri.
“Pit, aku rasa macam nak berubah la.”
“Alhamdulillah. Gembira aku dengar, tapi tiba-tiba je?”, tanya Fitri sedikit kehairanan.
“
Sebenarnya semalam aku dengar kau minta ampun pada Allah, kenapa kau
menangis? Aku rasa kau ni macam baik sangat. Tak macam aku ni...”
“
Baik la sangat kan. Daus, cuba bandingkan amalan kita dengan amalan
para nabi dan sahabat, macam langit dengan bumi! Aku takut Allah tak
terima taubat aku selama ini. Hari-hari macam-macam dosa aku buat, ada
yang sedar, ada yang tak sedar. Itu tak termasuk lagi dosa masa zaman
jahiliah aku dulu.”
“Kau tak rasa malu ke kalau ada orang tahu lelaki macho macam kau ni menangis malam-malam?”
“
Malu? Kenapa? Daus,memang malu tu sebahagian daripada iman, tapi malu
kenalah bertempat. Hakikatnya malu itu tak mendatangkan sesuatu pun
melainkan kebaikan . Bukan satu perkara yang memalukan pun.
Nabi
Muhammad SAW, pemimpin umat, ketua negara. Baginda telah dijanjikan
Allah tempat di syurga namun baginda masih beristighfar tidak kurang 100
kali sehari, kita macam mana? Baginda sembahyang sampai bengkak-bengkak
kaki, kita pula?
“ Best ke menangis malam-malam ini.”
“
Best. Best sangat. Macam kau bercakap dengan seorang yang setia dengar
tak kira apa pun masalah kau, tak kira masa. Yang tak hina kelemahan
kau. Dia bagi kekuatan pula pada kau. Yang tak jemu dengar rintihan kau.
Yang pujuk kau dengan janji-jani yang pasti. Yang suka dengar
permintaan kau. Yang beri kau rezeki. Yang tahu apa yang terbaik untuk
kau. Macam i tulah rasanya.”
“Ada ke orang yang macam tu?”
“Memang tak ada lah yang setia macam tu. Hanya Allah yang Maha mendengar. Allah dekat dengan kita.”
Allah berfirman:
Dan
apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah),
bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang
berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi
(segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka
selalu berada dalam kebenaran. [Al-Baqarah: 186]
Indahkan
ayat-ayat Allah? Jadikan Allah sebagai kekasih kita, dan Quran adalah
ayat-ayat cintaNya. 200% sure akan rasa bahagia lepas ni, sampai
akhirat, selama-lamanya...insyaAllah.”
Fitri menghulurkan
sebuah buku bertajuk tulisan Imam al-Ghazali yang telah diterjemahkan.
Dia berasa cukup bahagia dengan minat adiknya untuk berubah. Dalam
hatinya dipanjatkan doa agar adiknya terus istiqamah di jalan Allah.
“Kalau
nak berubah kena kuat tau, macam-macam dugaan. Dunia ni penuh tipu
daya. Bukan suruh kau abaikan dunia sampai tak belajar, tapi buat
apa-apa pun mesti kerana Allah. Allah suruh kita teroka ilmu sedalam
mungkin. Kena istiqamah tau. Apa-apa masalah rujuk la ustaz ke… atau
orang-orang alim, jangan pergi tanya orang sesat pula.”
“Tak tua sangat ke aku ni nak u-turn semula?”.
“ Tua ke? Aku lagi tua. Umur baru 16 dah kata tua. Bro, never too old to learn, never too late to turn. Aku akan selalu doakan kau. Uhibbuka fillah khair kathira.”
“ Okey, thanks Pit. Kau memang understanding lah..,uhibbuka fillah aidhon. bluek!”, usik Firdaus sebelum melangkah keluar dari bilik Fitri.
Perubahan
sikap Firdaus sedikit sebanyak telah menjadi perangsang kepada mereka
untuk turut berubah. Buku itu mula dibelek-belek. Setiap helaian
dihayati dengan penuh minat. Hatinya terasa tenang. Sedikit demi sedikit
perubahan dilakukan dalam dirinya. Hobi lamanya yang tidak berfaedah
sudah lama ditinggalkan.
Dia juga mula berdakwah kepada
rakan-rakan dan ahli keluarga. Pada mulanya dia mendapat cemuhan, kata
mereka Firdaus berubah untuk Aisyah, tetapi Firdaus tetap dengan
prinsipnya kerana dia yakin Allah dekat dengannya dan Allah Maha
Mengetahui niatnya.
Kecekalan dan ketabahan Firdaus berkat rahmat
ilahi mendekatkan dirinya dengan cita-citanya untuk bergelar seorang
doktor yang akan mampu merawat penyakit jasmani dan rohani bangsanya.
Dia kini bergelar seorang graduan dari Universiti Ain Shams.Menunggu
untuk melapor diri di Hospital Tengku Ampuan Fatimah, Pekan Pahang.
Tengahari
tadi juga dia selamat diijab kabulkan dengan bidadari yang dinantinya
sekian lama, Aisyah Humaira’ binti Ibrahim. Berkat bantuan kembar
Aisyah, Asyraf Mukmin sebagai orang tengah. Malam itu mereka solat sunat
pengantin baru bersama. Selesai solat, mereka bersalaman. Kelihatan
permata jernih mengalir membasahi pipi Aisyah.
Dia turut sebak menahan tangis. Namun dengan tenang dia mengawal perasaan.
“Kenapa Humaira’ menangis? Humaira’ sedih ke?”
“Bukan
Abang, Humaira’ bersyukur sangat. Kasihnya Allah pada kita, disimpulkan
kita dengan ikatan suci. “Abang pun gembira sangat Humaira’, Allah
kurniakan abang bidadari yang sangat cantik, cantik segala-galanya.
Lengkap separuh agama abang. alhamdulillah... ”
Seinfiniti
kesyukuran dipanjatkan buat Ilahi. Tempat datang dan kembalinya segala
nikmat. Tempat selayaknya dikembalikan segala puji-pujian. Benarlah
hidayahNya disalurkan melalui pelbagai cara, alhamdulillah...
- Artikel iluvislam.com