30 January 2012

Bolehkah roh suami kembali meniduri isterinya yang masih hidup?


Soalan: Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;
i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?
ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?
iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.
Hamimah AbdullahBanting, Selangor.
Jawapan:

Puan,
Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu ‘tidur bersama’, mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.
Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.
Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa’ – alamul khulud – yang bermula daripada kubur.
Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),”Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia.”
Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.
Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51 yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.
Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.
Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa ‘dia’ adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.
Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.
Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42 yang bermaksud, “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.”
Ayat al-Quran lain ada menyebut,“Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”
Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).
Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.
Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.
Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.
Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.
Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.
Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.
Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah – reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.
Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.
Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia.
Wallahu a’lam.Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din
Dipetik dari kitab: “Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan – Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din”.

26 January 2012

Muhasabah Diri Itu Lebih Baik

Bila tibanya tahun baru, tidak kira tahun baru islam mahupun tahun baru masihi, masing-masing antara kita sibuk untuk menetapkan azam baru dalam memperbaiki atau mempertingkatan mutu mahupun kualiti dalam kehidupan kita.
Namun kebanyakkan kita selalu terlupa untuk muhasabah semula kembali azam-azam itu yang lepas.Diulanginya setiap perkara negatif yang menjauhkan kita dari mencapai azam yang di tetapkan itu.Muhasabah ini hendaklah dilakukan selepas setiap amal yang dilakukan agar hatinya tenteram bahawa dia tidak menyeleweng dari ketetapan Allah dan sentiasa mematuhi arahan dan meninggalkan larangan-Nya.
Mengikut Ibnu Qudamah:
"Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat."
Ibnul Qaiyim pula berkata:
"Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali."
Kepentingan bermuhasabah
Dengan bermuhasabah diri, kita dapat menilai setiap perbuatan kita, apakah ianya mencapai matlamat, menghampiri matlamat atau lebih teruk menjauhi matlamat yang kita tetapkan.
Contohnya bagi sesebuah pasukan bola sepak, bilamana berakhirnya sesuatu perlawanan (terutama bila mengalami kekalahan), pasti akan di adakan muhasabah (atau lebih di kenali sebagai post-moterm). Ini bertujuan untuk mengenal pasti segala kekurangan dan kelemahan seterusnya memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi pasukan mereka. Maka,selebihnya lagi kita sebagai seorang muslim.
Dengan bermuhasabah juga, seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua,kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatan kualiti diri mereka dari masa ke semasa.
Sabda Rasulullah saw :
"Orang muslim itu tidak akan di patuk ular pada lubang yang sama untuk kali kedua"
Kelebihan bermuhasabah
  1. Dapat mengenali kekurangan diri, maka dengan itu dapatlah kelemahan itu di perbaiki.
  2. Dapat bertaubat, menyesali dan meninggali setiap kesalahan yang lepas.
  3. Dapat mengenali hak Allah taala ke atas diri kita.
  4. Dapat mengelakkan diri dari mengulangi kesalahan yang lepas dan seterusnya mempertingkatkan amalan soleh.
  5. Dapat mempersiapkan diri sebelum bertemu dengan Allah di hari akhirat kelak,

Seperti yang di katakan oleh Umar al-khattab :
"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.
Maka, di kesempatan ini, penulis menyeru kepada diri sendiri terutamanya, dan seterusnya kepada pembaca-pembaca yang di rahmati Allah sekalian, agar kita sentiasa muhasabah diri kita dari masa ke semasa, agar dapat memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi diri kita dan lebih-lebih lagi dalam mengerjakan amal ibadah kepada Allah. Semoga hari ini lebih baik dari hari-hari kita yang sebelum ini.

Ombak rindu versi islamic feat Mr.Bie




Tuhanku...
Ombak rinduku terhadapmu...
Menggamit rasa cinta...
dan taubatku kepadaMu...
Ampunkan segala dosaku...
Kesalahan dan keterlanjuranku...
Tuhan tolong lembutkan hati hamba...
Untuk mencintaMu seadanya..
Kerna ku tak sanggup...
Kerna ku tak mampu...
Menghadapi siksa nerakaMu...
Tuhan aku tahu banyak dosaku...
Hanya ingatkanMu kala dukaku...
Namun hanya kamu yang mampu membuka...
Pintu hatiku untuk cintaMu...


Allah...
Ampunkanlah hambaMu...
Yang selalu dustakan janjiku...
Agar kelak ku takkan disiksa...
kerna dosa-dosa masa lalu...


Allah...
Jatuh air mataku...
Dan terus mengalir mengiring doaku...


Allah...
Yang mengampuni segala...
Dosa-dosa hamba yang meminta...
Hanya mampu berdoa...
Moga maghfirah tiba nanti...





17 January 2012

:: Bila Lelaki Kehilangan Tulang Rusuknya ::



WANITA: Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?
LELAKI: Kamu!!!
WANITA: Menurut kamu, saya ini siapa?
LELAKI: (Berfikir sejenak, lalu menatap WANITA dengan pasti) Kamu, tulang rusukku. Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa. Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya...
Setelah berkahwin, pasangan itu mengalami masa yang indah dan manis untuk sementara. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kelelahan hidup yang ada. Hidup mereka menjadi membosankan.
Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain. Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas. Pada suatu hari pada akhir sebuah pertengkaran WANITA lari keluar rumah. Saat tiba di seberang jalan, dia berteriak "Kamu tidak cintakan saya lagi!!!".
LELAKI sangat membenci ketidakdewasaan WANITA dan secara spontan juga berteriak "Saya menyesali perkahwinan ini! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!!!" Tiba-tiba WANITA terdiam, dan berdiri kaku untuk beberapa saat. LELAKI menyesali akan apa yang sudah dia lafazkan, tetapi seperti air yang telah tertumpah tidak mungkin untuk diceduk kembali. Dengan berlinang air mata, WANITA kembali ke rumah dan mengambil barang-barangnya, bertekad untuk berpisah. "Kalau saya bukan tulang rusukmu, biarkan saya pergi. Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing".
Lima tahun berlalu. LELAKI masih belum lagi berkahwin, tetapi berusaha mencari khabar akan kehidupan WANITA. WANITA pernah ke luar negeri tetapi sudah kembali. Dia pernah berkahwin dengan seorang asing dan bercerai. LELAKI agak kecewa bila mengetahui WANITA tidak menunggu, sepertinya.
Dan di tengah malam yang sunyi, dia meminum kopinya dan merasakan sakit di
hatinya. Tetapi LELAKI tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan WANITA.
Suatu hari, mereka akhirnya bertemu kembali. Di airport, tempat di mana banyak terjadi pertemuan dan perpisahan, mereka dipisahkan hanya oleh sebuah dinding pembatas.
LELAKI: Apa khabar?
WANITA: Baik... Kamu sudah menemui tulang rusukmu yang hilang?
LELAKI: Belum.
WANITA: Saya akan terbang ke New York dengan penerbangan berikut. Saya akan kembali 2 minggu lagi. Telefon saya kalau kamu berkesempatan. Kamu tahu nombor telepon saya kan ? Tidak ada yang berubah. WANITA tersenyum manis, berlalu di hujung lafaz "Selamat tinggal.."
Satu minggu kemudian, LELAKI menerima khabar WANITA adalah salah seorang korban Menara WTC. Malam itu, sekali lagi, LELAKI meneguk kopinya dan kembali merasakan sakit dihatinya. Akhirnya dia sedar bahwa sakit itu adalah kerana WANITA, tulang rusuknya sendiri yang telah dengan bodohnya dia patahkan.
Kita menempiaskan 99% kemarahan walau kepada orang yang paling kita cintai. Dan akibatnya adalah penyesalan. Seringkali penyesalan itu datang dikemudiannya, akibatnya setelah kita menyedari kesalahan kita, semua sudah terlambat...
Kerana itu, jagalah dan sayangilah orang yang dicintai dengan sepenuh hati... Sebelum mengucapkan sesuatu berfikirlah dahulu, apakah kata-kata yang kau ucapkan akan menyakiti orang yang dicintai? Kira merasakan akan menyakitinya, sebaiknya jangan pernah dilafazkan. Kerana semakin besar risiko untuk kehilangan orang yang dicintai.
Jadi berfikirlah, apakah kata-kata yang akan dilafazkan sebanding dengan akibat yang akan diterima?? 



Sumber:I Luv Islam

:: Temui Jawapanmu Pada Sebuah Istikharah ::


Oleh : Nur Aisyah Zainordin
Sumber  : I Luv Islam

Memang, rasa suka dan cinta itu membantu dalam proses khitbah dan ber-baitul Muslim.

Malah, penting juga pada setengah keadaan, dalam keadaan terkawal, dipanjangkan proses taaruf, agar ada rasa kecendurangan dan suka pada yang mahu dinikahi.Malah, ada seorang ikhwah pernah mengatakan,''Pentingnya cinta itu lebih diutamakan daripada se'kufu'an dari sudut fikrah dan dakwah!''
Astaghfirullah.
Memang kita boleh memilih jalan hidup kita.Dan tentunya, apa sahaja jalan yang kita pilih, tentu akan berhadapan dengan ranjau serta durinya.Kerana ujian itu sahajalah tempat Allah menguji iman kita, dan tempat dia mengatakan kepada kita:'I love you my servant!'
Alangkah indahnya, di saat kita memilih salah satu jalan itu, kita memilihnya kerana Allah?Walaupun mungkin di sudut hati kita, ada kecenderungan mahupun kecintaan pada sesuatu yang lain.Dan tidak sedikit orang yang terkelabui malah tertutup hatinya di saat memilih pasangan hidup, akibat penangan cinta.
Lantas, pada istikharahnya sendiri, sudah memiliki kecenderungan pada yang dicintai.Kerana itu, aku amat memahami mengapa murabbi ku mendidikku untuk berkahwin dengan dakwah sebelum dengan ikhwah.Bukan kerana dia syadid, ataupun owh-mai-gowd macam malaikat, tapi kerana dia mahu mengajarkan aku sesuatu yang amat penting dalam hidupku;'No matter what happen to you in this life, jangan tinggalkan dakwah! Dan kembalikan hidupmu pada dakwah di saat penyelewangan mula berlaku.'
Bila kita memilih Allah dalam setiap perkara, di situ kita akan mengarahkan seluruh kehidupan untuk Dia. Malah menarik semua manusia yang berada dalam radar graviti kita, ke arah Dia. Dan tentu ini tidak mudah sama sekali.Malahan, setelah berkahwin, kita akan memastikan radar baitul muslim kita akan berpaksi dan kembali kepada Allah.Bukan sekadar pada sebuah cinta semata-mata.
Aku tahu kamu sedang mengalami dilema ini maka istikharahlah dengan sebenarnya.Aku katakan pada kamu dengan penuh kecintaan, istikharahlah.Istikharahlah!Dengan sekhusyuk dan sejujur hatimu supaya Allah menunjukkan jalan yang terbaik buat kamu dan supaya apa sahaja yang Allah takdirkan buat kamu, samada sukar mahupun senang, Allah akan bantu seluruh kehidupan kamu dan dakwahmu, dalam keadaan apa sekalipun.
Kerana Allah telah menyelamatkan diriku pada sebuah istikharah. Dan, setelah beristikharah dengan ramainya manusia. Sehinggalah aku amat bersyukur pada Allah, di saat Dia membukakan pada kami, tentang satu kisah dahulu yang sebenar. Walaupun pada satu detik, sebagai manusia biasa, aku serba salah dalam menolaknya.

Namun, Allah telah menyelamatkan aku, sehingga kebenaran terpamer pada dunia. Dan tentu aku amat bersyukur pada Allah, kerana dia membantu aku memilih Dia sebelum cinta, dan akhirnya cinta itu datang dengan sendirinya setelah Dia.
Di saat kamu benar-benar berpegang pada Allah, kamu kira Allah akan melepaskan tangan kamu?

:: Kehebatan Molekul Air Zam-Zam ::

Kajian saintifik di Jepun : Dr. Masaru Emoto dari Universiti Yokohama dengan tekun melakukan penyelidikan tentang perubahan molekul air. Air murni dari mata air di Pulau Honshu didoakan secara agama Shinto, lalu didinginkan sehingga -5 °C di makmal, kemudian diambil gambar dengan mikroskop elektron dengan kamera halaju tinggi. Ternyata molekul air tersebut membentuk kristal segi enam yang indah.
Dim lights Embed 
Percubaan diulang dengan membacakan kata, “Arigato (terima kasih dalam bahasa Jepun)” di depan botol air tadi. Kristal yang terbentuk sangat indah. Lalu dicuba dengan menghadapkan tulisan huruf Jepun, “Arigato”. Kristal membentuk dengan keindahan yang sama. Selanjutnya ditunjukkan kata “setan”, kristal berbentuk buruk. Diputarkan muzik Symphony Mozart, kristal muncul berbentuk bunga. Ketika musik heavy metal diperdengarkan, kristal hancur. Ketika 500 orang memusatkan pesanan “peace” di depan sebotol air, kristal air tadi mengembang bercabang-cabang dengan indahnya. Dan ketika dicuba dibacakan doa Islam, kristal bersegi enam dengan lima cabang daun muncul berkilauan. Subhanallah!
Semasa di suatu seminar yang rata–ratanya dihadiri oleh bukan Islam, Prof. Masaru Emoto menunjukkan beberapa molekul air yang buruk rupanya. Kemudian yang terakhir beliau menunjukkan molekul-molekul air yang begitu indah, berbentuk kristal yang bercabang-cabang dan berkilauan. Beliau kemudiannya bertanya kepada hadirin tentang molekul air tersebut. Hadirin senyap. Dengan yakinnya seorang peserta seminar dari Malaysia bangun dan berkata “Itu molekul air zam-zam, air yang paling mulia”. Prof. Emoto menggangguk “Saya tidak pasti sama ada itu adalah air yang paling mulia atau tidak tetapi memang benar itu adalah molekul air zam-zam”. Dr. Emoto akhirnya mengelilingi dunia melakukan percubaan dengan air di Swiss, Berlin, Perancis, Palestin, dan ia kemudian diundang ke Markas Besar PBB di New York untuk membentangkan hasil penemuannya pada bulan Mac 2005 lalu. Ternyata air boleh ”mendengar” kata-kata, “membaca” tulisan, dan boleh “mengerti” pesanan.
Persidangan Air Sedunia baru-baru ini di salah sebuah Universiti di Malaysia membuktikan segala fakta tentang air. Sewaktu persidangan itu, air dari merata dunia diambil dan diperiksa akan “kehebatannya“. Kamera berfrekuensi tinggi berjarak jauh digunakan untuk melihat akan gambaran yang terjadi kepada air yang sedang di uji itu. Maka air dari Sungai Ganges dan juga termasuk Air Zam-Zam diuji dan dikenal pasti. Sesuatu yang nyata adalah Air Zam-Zam sahajalah air yang begitu kukuh dalam merakam segala perubahan pada kadar gelombang alam semesta ini dan strukturnya begitu kukuh (segi tiga). Keunikan Air Zam-Zam ini juga adalah strukturnya tidak berubah, ia tidak akan terjejas di dalam apa sekali pun tekanan yang sedang diberikan padanya. Ia tetap utuh sehinggakan seorang Professor dari Jepun memeluk agama Islam kerana keunikan Air Zam-Zam yang beliau ketahui hanya ada di Kaabah. Lagi satu kehebatan air Zam-Zam ini adalah ia sahaja didapati boleh merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu-waktu yang tertentu.
Kelihatan gambar molekul air zam-zam yang bercahaya. Subhanallah!

:: Lelaki Vs Wanita ::


Oleh : Arfa Athirah Nua'man
Sumber : http://abyrad.blogspot.com

Kaum hawa selalu mengeluh dan melafazkan "susahnya jadi wanita", mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah dan meletakkan kaum wanita dalam keadaan tertindas.

Keluhan remaja perempuan A:
"Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak."

Keluhan isteri A:
"Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak."

Keluhan remaja perempuan B:
"Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!"

Keluhan isteri B:
"Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!"

Keluhan isteri C:
"Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?"

Keluhan isteri D:
"Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?"

Keluhan remaja perempuan C:
"Wanita tak boleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?".

Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.

Mereka sebenarnya membunuh wanita dan institusi kekeluargaan

Kaum lelaki pula cakap, "Ah, mujur aku ni lelaki!"

Tunggu..! Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada ,diolah sebaiknya untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan A:
"Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut kan? Tapi kalau sebaliknya, jangankan saya, tapi tok imam pun akan tercabut serbannya jika tengok awak pakai hanya seluar pendek!"

Lelaki beriman menjawab keluhan isteri A:
"Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!"

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan B:
"Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh..jangan kongsi dengan sesiapa walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!"

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri B:
"Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan"

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri C:
"Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!"

Lelaki beriman menjawab Keluhan remaja perempuan C:
"Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!"

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri D:
"Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!"

Isteri kepada lelaki yang sedang berjihad menerima pahala jihad walaupun tidak turut sama dengan suaminya

Lelaki beriman bertanya, "Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?"

Namun, wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata, "MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki."

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman. Musuh Islam tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan mereka.

Allah, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.

Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan tegakkan agamamu, nescaya syurga menanti.

Usahlah mengeluh kaum wanita. Sesungguhnya Allah swt sayang padamu

AbyRAd: MasyaAllah! Tahukah kamu, begitu sekali sayangnya Allah swt kepada wanita. Kepada kaum lelaki usahlah terlalu angkuh dan bangga kepada "kelebihan" yang Allah beri kerana kelebihan itu ialah tanggungjawabmu dan akan dipersoal diakhirat kelak.

:: Cara Asif memindahkan Istana Balqis ::


Oleh : Ibnuyaacon dan Ustaz Badri


Artikel ini adalah sebagai membahaskan hujah Muhammad Isa Dawud tentang penggunaan tenaga cahaya dalam operasi pemindahan Istana Balqis oleh Asif Bin Barqiya.

Artikel ini juga ingin menyatakan ‘tidak setuju’ akan pendapat bahawa Asif telah menggunakan tenaga cahaya. Hujah ini bukanlah kajian baru, tetapi hujah yang diambil dari kitab kajian-kajian ulama’-ulama’ tasawuf terdahulu.

Dalam bukunya (Muhammad Isa Dawud) yang bertajuk, “Dajjal Akan Muncul Dari Kerajaan Jin Di Segitiga Bermuda”, dengan panjang lebarnya menerangkan akan teknologi cahaya yang telah dicapai sejak zaman silam.

Penerangan ini mencakupi pelbagai sudut dan intipati bermula dari beberapa kiraan kelajuan cahaya, kenderaan UFO sehinggalah kepada kesimpulan bahawa Asif Bin Barqiya telah menggunakan cahaya. (kami sendiri berasa hairan mengapa MID tidak menggunakan kitab tasawuf untuk membahas soal Asif bin Barqiya, mustahil beliau tidak mengetahui. Namun mungkin beliau ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat kita fikirkan. Mudah-mudahan Allah melimpahi rahmat dan kesihatan atasnya untuk terus menulis)

Sebenarnya Asif Bin Barqiya bukanlah seorang saintis, tetapi beliau adalah ahli sufi, ahli tasawuf dan pengamal tarekat dengan ilmu-ilmu laduni yang tak terkira banyaknya.

Biografi Asif Bin Barqiya hanya dapat diperoleh melalui kitab-kitab pengajian tasawuf dan kelas-kelas tarekat sama ada di Timur Tengah, Pattani, Malaysia atau Indonesia.

Bagi sesiapa yang pernah menyertai kumpulan-kumpulan tarekat Shatriyah atau Ahmadiah, sudah pasti guru-guru tarekat tidak terlepas mendedahkan tentang hal Asif yang zuhud ini.

Bagaimana Asif Memindahkan Istana Balqis? Sebelum menjawab soalan di atas adalah lebih baik kita renung semula ayat al-Quran berikut:

“Hai pembesar-pembesar siapakah diantar kamu sekelian sanggup membawa singgahsananya kepada ku sebelum mereka datang kepada ku sebagai orang-orang yang berserah diri.”

“Berkata Ifrit (yang cerdik) itu dari golongan jin, aku akan datang kepada ku dengan membawa singgahsana itu kepada mu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya
lagi dapat dipercayai. 

Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab; “Aku akan membawa singgahsana itu kepada mu sebelum matamu berkedip.” “Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, ia pun berkata; “Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk menguji aku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya) . Dan barang siapa bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” 
(An-Namli, ayat 38-40)

Jawapannya ialah;

Cara Asif memindahkan Istana Balqis cukup mudah iaitu dengan niat di dalam hati sahaja. Walaupun Asif hanya sekadar berniat, tetapi “niat” yang dicetuskan dalam hati Asif tidak sama dengan cara kita orang biasa berniat. Niat yang didetikkan oleh Asif sebenarnya “berkaedah”. Dan ia sejenis kaedah teknologi yang berkaitan amalan-amalan tarekat dalam ilmu tasawuf.

Niat beliau telah disokong oleh suatu teknologi tasawuf yang diberi nama Keramat Dunia Ke-19. Dalam kitab Lum’atul Aurad karangan Wan Ali Bin Abdul Rahman Al-Kelantani ada membahaskan bahawa ketika Asif berniat ‘menghadirkan’ istana Balqis, Asif telah menyertakan sekali dalam niatnya kalimah “Yaa zaljalaa..liwal ikram…”.

Ulama’-ulama’ tasawuf keseluruhannya menyetujui bahawa martabat teknologi yang dimiliki Asif adalah antara tertinggi dikalangan manusia biasa (tidak termasuk Nabi & Rasul). Teknologi keramat Asif sudah berada di puncak teknologi tasawuf yang dinamakan capaian akhir “Kun fayakun”.

Perbahasan panjang lebar tentang martabat-martabat keramat seperti ini juga boleh didapati dalam kitab Syarah Hikam dan Sairus As-Salikin. Apakah Keramat Dunia KE-19?

Keramat Dunia Ke-19 atau ringkasnya KDK-19 ialah suatu martabat ilmu yang dianugerahkan Allah SWT kepada insan-insan yang telah mencapai tahap kekasih Allah. Sesiapa sahaja boleh memperolehnya asalkan bertaqwa, berzuhud, bertarekat dan beramal soleh.

KDK-19 tidak boleh diperoleh hanya dengan kuat beribadat dan berzikir. Terdapat kaedah-kaedah tertentu yang mesti diikuti dan dipandu oleh guru tarekat yang mursyid untuk memperolehnya.

Keramat Dunia Ke-19 bermaksud sesiapa yang memilikinya akan mampu menghadirkan atau mengadakan sesuatu benda, kejadian atau tingkahlaku hanya dengan niat di dalam hati. Dalam erti kata lain apa yang terlintas di hati
akan dimakbulkan Allah. Peringkat-Peringkat Keramat Dunia Di dalam kitab tasawuf telah diterangkan dengan nyata akan KDK-1 hingga KDK-20. 

KDK boleh diringkaskan sebagai visi akhir seseorang ahli tarekat. Tetapi ada juga ahli tarekat yang tiada langsung mendapat KDK ini, cuma sekadar mendapat keramat-keramat yang biasa seperti menyembuhkan penyakit, berkomunikasi jarak jauh atau berjalan di atas air.

Berikut ialah senarai teknologi KDK yang menjadi rebutan ahli-ahli tarekat:

KDK-1 : Peringkat ini Allah amat kasihkan dan memujimuji nama mereka (ahli tasawuf). Alangkah bertuah dan mulianya mereka ini kerana sentiasa dipuji Allah.

KDK-2 : Allah sendiri mengucap terima kasih kepada mereka. Sekiranya kita diucap terima kasih oleh seorang yang hina pun sudah cukup baik, apatah lagi jika Allah sendiri yang mengucapkannya.

KDK-3 : Allah Taala sangat kasih dan cinta akan mereka. Jika seorang raja mencintai kita sudah cukup untuk kita bermegah dan mendapat faedah, apatah lagi raja sekian alam sendiri yang cintakan kita.

KDK-4 : Allah Taala sendiri menjadi wakil untuk mengurus urusan mereka.

KDK-5 : Allah Taala menjamin rezeki ke atas mereka ke mana sahaja mereka pergi.

KDK-6 : Allah Taala mengawal tubuh badan mereka dari disakiti musuh. 

KDK-7 : Allah Taala menjadi sahabat teman setia mereka. 

KDK-8 : Ahli sufi berjiwa besar dan tidak terasa terhina membuat kerja-kerja yang tidak disukai orang. Malah mereka tidak suka ditolong orang hatta raja sekalipun.

KDK-9 : Tinggi hemah dan kezuhudan seta tidak sedikit pun ternoda dengan kemegahan dunia.

KDK-10 : Kaya hati, tenteram dan aman. Tidak terkejut dengan kekayaan baru yang datang dan tidak pula susah hati bila ditimpa kemiskinan.

KDK-11 : Bersinar-sinar nur hati mereka hingga dapat memberi petunjuk kepada orang ramai tentang ilmu-ilmu rahsia, hikmat-hikmat yang tidak dapat diberi oleh manusia biasa.

KDK-12 : Sentiasa berlapang dada sehingga bala yang besar tidak mampu langsung menggundah-gulanakan jiwa mereka.

KDK-13 : Wajah mereka sentiasa terpancar sinar kehebatan dan mampu merebahkan orang yang melihat atau musuh yang mendekati hatta raja yang zalim sekali pun.
KDK-14 : Allah Taala melimpah keberkatan pada segala pergerakan tubuh dan perilaku mereka seperti tempat tidur, bekas makan dan tempat duduk sehingga diambil orang untuk keberkatan. Malah yang bersahabat dengan mereka juga mendapat tempias ilmu-ilmu keramat mereka.

KDK-15 : Mereka menguasai lipat jalan bumi, udara dan air sehingga jika dikehendaki terbang di udara atau menyelam di laut dalam nescaya diperkenankan Allah.

KDK-16 : Mereka dapat menunduk dan menjinakkan segala jenis binatang buas malah binatang itu dapat dijadikan khadam suruhan pula.

KDK-17 : Mereka dianugerahkan perbendaharaan bumi. Sekiranya mereka mengkehendaki harta karun itu timbul dari perut bumi nescaya berlaku. Mereka juga mampu mendatangkan rezeki (makanan) sendiri jika terasa kelaparan.

KDK-18 : Mereka menjadi tumpuan orang ramai Kepada orang yang berhajat berkasih kepada Allah wajarlah dijadikan mereka ini sebagai wasilah. Berkhadamlah dengan mereka ini mudah-mudahan akan sampai makrifat kepada Allah.

KDK-19 : Apa sahaja yang terlintas di hati atau tergerak lidah untuk meminta sesuatu hajat nescaya tercapailah hajat mereka.

KDK-20 : Terjatuh mesra kasih orang ramai apabila terpandang mereka.

Kesimpulan

Dajjal tahu siapa Asif bin Barqiya, apa kehebatannya dan ini bukan sesuatu jangkaan kerana Dajjal mampu mendapatmaklumat berikut melalui Iblis laknatullah. Cuma Dajjal itu tidak mampu meniru dan mencipta ilmu tasawuf kerana ia ilmu makrifat yang berkaitan kezuhudan hati.

Dajjal tidak mampu mencipta teknologi ini kerana ia berasaskan wirid dan zikir. Zikir tidak boleh dilihat kehebatannya, ianya hanya boleh didengar. Menyedari kekurangan ini Dajjal terpaksa berhempas pulas menggunakan tenaga elektrik dan cahaya untuk menandingi ilmu tasawuf ini. Eksperimen Phildephia sudah menjalani beratus-ratus ujian tanpa diketahui.

Ini bukanlah bermakna Dajjal masih diperingkat tenaga elektrik, Dajjal sudah pun mempunyai teknologi cahaya yang digunakan UFO. Cuma Dajjal belum bersedia menimbulkan teknologi itu di tengah-tengah masyarakat sekarang kerana ia belum sesuai.

Kejayaan menggunakan cahaya akan berlaku juga seperti kejayaan memunculkan gambar di skrin televisyen zaman dahulu. Idea teknologi ini akan didetikkan di otak salah seorang terpilih (the chosen one) tidak lama lagi. Dengan terhebahnya teknologi itu kelak maka hampirlah saat perang dunia akhir zaman.

P/S : Maklumat ilmu tasawuf adalah sesuatu yang sensitif bagi masyarakat yang tiada ilmu zaman sekarang ini. Bagi yang berminat mengetahuinya dengan lebih lanjut hendaklah menanyakan sendiri kepada tuan guru-tuan guru di mana-mana sekolah pondok. Jangan sesekali menanyakan ilmu ini di internet walaupun ada ustaz-ustaz yang membuka ruang bicara secara online.

(PERHATIAN : Bagi yang berminat menggunakan artikel ini untuk blog peribadi hendaklah kiranya tidak dibuang akan pesanan P/S yang tertera di atas bagi mengelak syak wasangka dan fitnah pembaca bukan Islam. Hendaklah diletak alamat blog ini agar tiada)