15 May 2012

BAGAIMANA IKHTILAT YANG DIBENARKAN ?





Bismillahirrahmaanirrahim

Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan). Adakah sama sekali tidak boleh? Apakah hukumnya? Mungkin kebanyakan kita pernah mendengar mengenai masalah ini, mungkin juga tidak.
dari buku Fatawa Al Mar atul Muslimah oleh Dr Yusuf Al Qardhawi, 
Amma ba’d:

Pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh(seperti menuntu ilmu), membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan.

Walaupun dibolehkan, kita sama sekali tidak mengabaikan batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam :

1. Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya (lelaki dan perempuan jangan gatal menjeling-jeling) , tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Allah SWT berfirman :

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".(30)

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, (31)

An Nuur : 30-31

2. Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh, Allah SWT berfirman :

dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, ,(31)

Surah An Nuur : 31

Dikuatkan lagi daripada para sahabat yang dimaksudkan dengan “perhiasan” ialah dua tangan dan wajah.

Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan, firmanNya :

Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. (59)

Al Ahzab: 59

Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.

3. Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki :

i. Percakapan , hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman :

Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,(32)

Al Ahzab : 32

ii. Berjalan, Allah SWT berfirman :

Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan (31)

An Nuur : 31

Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya :

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan (25)

Surah Al Qashah :25
iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.

4. Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai dirumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

5. Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram disisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama (makin ‘terbakar’ la kalau dibiarkan berdua). Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

6. Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat (cth: mesyuarat) dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa(anak- anak).

Penuhilah syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah disaat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah.

Wallahu Ta’ala A’lam

07 May 2012

Mahu Pertunangan Kukuh atau Rapuh (copy Petikan Blog Fatimah Syarha)


Syariat lebih penting daripada adat. Tapi itu tidak bermakna adat tidak penting. Adat juga penting. Spesifiknya, adat yang tidak bertentangan dengan syariat. Ia mempunyai kedudukan yang istimewa dalam kaedah syarak. "Al-Adat muhakkamah".


Hukum dan Perlaksanaan Hukum

                “Saya nak bertunang pakai sms. Kata ustaz saya, hukumnya sah. Pakai ibubapa makin menyusahkan saja. Islam itu kan mudah,” kata seorang remaja.
                Ramai remaja terkeliru soal hukum dan soal perlaksanaan hukum. Hukum itu senang diceduk daripada kuliah fikah atau kitab fikah. Perlaksanaan hukum pula perlukan model atau guru.  Buku-buku karangan ulama muktabar kontemporari banyak membantu dalam hal ini.
Bagaimana perlaksanaan hukum yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat? Mereka sangat meraikan hubungan dengan Allah, kepentingan dakwah, kaca mata sosial kemasyarakatan, budaya setempat dan lingkungan zaman.
                Hukum fikah adalah tentang batas minimum. Ada soal lain yang berupa akidah dan akhlak yang perlu diambil kira. Perlaksanaan hukum yang ideal ialah perlaksanaan hukum yang menggabungkan ketiga-tiga aspek ini.
Akidah Islam meyakini Rasulullah SAW itu contoh terbaik. Selongkarlah kisah pertunangan Nabi SAW. Hampir semua calon isterinya ‘diminta’ dengan perantaraan orang tengah. Ada juga kisah Rasulullah SAW meminang terus kepada janda bernama Ummu Hani’ binti Abu Thalib. Itupun pinangan baginda ditolak. Yang pasti, baginda sangat mendahulukan wali bakal isteri apatah lagi jika bakal isteri itu seorang gadis.
Akhlak Islam pula amat menitik beratkan berbuat baik kepada orang tua (birrul walidain). Birrul walidain dalam soal ini ialah memohon restu, berkomunikasi dengan baik dan memberitahu tanpa berahsia. Sebagai orang tua, mereka sangat ingin menilai dahulu calon menantunya dan memberi buah fikiran.
Jika anda rasa ianya menyusahkan, bayangkan suatu ketika nanti, anak remaja anda pulang dari sekolah kemudian berkata,
“Ayah, mak, saya sudah bertunang. Pakai sms.”
Hmm, susah tak hati anda tika itu?

Analogi Pak Imam Berkain Samping
                Untuk memberi kefahaman lebih jelas tentang hukum dan perlaksanaan hukum, saya bentangkan beberapa analogi.
                Bayangkan seorang Pak Imam datang ke masjid dengan memakai kain samping yang menutup dari pusat hingga ke lutut. Dia tidak memakai baju. Seluar atau kain pelikat pun tidak dipakai. Kain samping itu sahaja yang dipakainya.
                Makmum asyik berbisik-bisik. Pak Imam tidak peduli. Dia bertakbiratul ihram. Azamnya, dalam kuliah Maghrib nanti, dia akan maklumkan kepada semua bahawa dia melakukan hal itu dengan ilmu hukum fikah.
Segelintir makmum bersolat di belakang dengan kepala berselirat tanda tanya. Dalam solat sebelum ini, mata asyik tertumpu pada tempat sujud. Kali ini, mata mereka nakal membilang bulu roma di betis Pak Imam. Ramai makmum keluar masjid. Menghidupkan kenderaan lalu mencari masjid lain.
Adakah sah solat Pak Imam tersebut?
                Ya, solatnya sah! Dia sudahpun memenuhi tahap minimum menutup aurat. Menutup aurat adalah syarat sahnya solat. Tapi, adakah perbuatannya itu boleh mengundang mudarat dan menendang maslahah?
                Saya percaya, jika situasi ini berlaku, ramai makmum terpaksa berperang habis-habisan dengan jiwa mereka untuk berbaik sangka terhadap tahap ‘kewarasan’ imam tersebut. Meskipun dia melakukan sesuatu yang ‘sah’ namun perlaksanaannya tidak meraikan maslahah (perkara yang mengundang manfaat dan menolak mudarat).

Analogi Ayah Mengahwinkan Kanak-Kanak
                Bayangkan seorang bapa sedang termenung di tangga. Dia risaukan anak perempuannya yang berusia 6 tahun. Melihat parahnya pergaulan bebas dalam masyarakat, dia terfikir untuk mengahwinkan sahaja anak perempuannya itu. Dia lalu membelek kitab fikah untuk mengkaji tentang rukun nikah dan syarat sahnya.
                Suatu hari, si anak pulang dari sekolah tadika sambil menggalas beg. Tangan kanannya memegang batang aiskrim dan tangan kiri memegang gula-gula berbatang. Hingus meleleh keluar.
Ayahnya menunggu di muka pintu dengan seorang lelaki. Apabila kanak-kanak itu tiba, si ayah berkata,
                “Ini suami kamu. Lepas salin baju sekolah nanti, ikut dia,” kata si ayah.
                “Suami tu apa ayah?” tanya si anak sambil menyedut hingusnya dan ia meleleh semula.
                Ibu kepada kanak-kanak itu merah padam mukanya tatkala mendengar perbualan itu. Dia keluar dari dapur dengan penyudip masih di tangan.
                “Eh, bila masa pula anak saya berkahwin? Saya tak izinkan!” katanya dengan nada tinggi.
                “Awak jangan sibuk! Awak izin ke tak izin ke, perkahwinan ini sah di sisi Islam.  Jangan lawan hukum. Hukum membolehkan ayah mengahwinkan anak gadisnya. Ianya sah!”
                Ya, perkahwinan itu sah! Izin ibu bukanlah termasuk dalam syarat sah nikah. Begitu juga persetujuan anak kecil dan batas umur si anak, ia tidak mempengaruhi sah atau tak sahnya nikah.
                Namun, jika situasi ini berlaku, saya percaya manusia serata dunia akan mengutuk perbuatan si ayah. Protes besar-besaran tidak mustahil boleh tercetus untuk membela kanak-kanak itu. Tidak kira agama, bangsa dan negara, semuanya akan seia sekata.
 Ini sebuah lagi contoh orang yang melakukan sesuatu yang ‘sah’ tapi perlaksanaannya tidak meraikan maslahah dan keadaan zaman yang berubah.
Dia mungkin merasakan orang lain tidak memahami hukum. Hakikatnya, dia telah melaksanakan hukum tanpa merujuk kaedah-kaedah sebenar yang diajar Rasul dalam mempertimbangkan maslahah(kebaikan), mafsadah (keburukan), lingkungan zaman dan sebagainya.

                Mahu Yang Rapuh atau Yang Kukuh?
                Remajaku sayang,
                Jika anda memilih cara bertunang semudah menghantar sms, tidakkah anda membayangkan betapa rapuhnya ikatan itu?
Bayangkan situasi ini:
                “Saya suka awak. Saya rasa nak kahwin dengan awak,” seorang lelaki menghantar sms.
                “Sayapun suka awak. Sayapun rasa nak jadi isteri awak,” balas si gadis.
                “Kalau begitu, kita dikira bertunang. Jangan terima orang lain, tau,” pesan si lelaki.
                “Jumpalah mak ayah saya dulu, baru kita dikira bertunang,” pinta si gadis.
                “Ustaz saya kata, bertunang itu ialah teruna dan dara berjanji untuk bernikah,” kata si lelaki.
                “Eh, apa beza bertunang dengan bercoupling macam kita ni?” keliru si gadis.
                “Entah?! Ah, sama je tu!” jawab si lelaki.
                “Tapi, ustaz saya kata, antara tujuan bertunang ialah untuk mengetahui persetujuan wali sebab wali adalah salah satu rukun nikah nanti,” kata gadis itu.
                “Itu zaman dulu. Kita sekarang dah canggih. Tak perlu cincin, tak perlu hantaran, hantar sms terus bertunang. Ingat, awak tunang saya! Haram lelaki lain pinang awak tau,” kata si lelaki.
                “Hmm, kalau macam tu, kita putus tunang sajalah sekarang!” tegas gadis itu.
                Untuk apa bertunang, jika tidak sampai lima minit? Keliru pula antara bertunang dan berpacaran.
Beginilah yang terjadi. Jika Islam yang mudah diambil mudah untuk bermudah-mudah, situasi jadi tambah rumit dan payah. Ikatan pertunangan yang sepatutnya teguh dengan komitmen keluarga, menjadi sangatlah rapuh.

Seboleh-bolehnya Raikan Adat Selari Syariat
                Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, dipetik daripada buku Wanita Dalam Fikih al-Qaradhawi, “Pernikahan yang baik itu ialah pernikahan yang tiada halangan daripada kedua-dua pihak, keluarga, undang-undang dan adat.”
                Begitu juga pertunangan. Banyak adat-adat yang baik yang tidak bercanggah dengan syariat yang elok kita raikan.
                Jika ditanya, mana lebih penting antara adat dan syariat? Sudah tentu jawabnya syariat. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.
                Namun, jika ditanya adakah adat itu tidak penting? Jawabnya, adat itu penting! Cuma syariat jauh lebih penting.
Jangan pandang negatif pada semua bentuk adat. Adat yang baik mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam. Ada kaedah syarak menyebut, “Al-Adat muhakkamah.” Bermaksud adat itu boleh memberi hukum.
Contohnya, adat memberi cincin tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Dengan adat ini, lebih senang untuk mengenal pasti mana satu wanita yang sudah bertunang atau belum.
Begitu juga adat memberi hantaran meminang, ia tidak bercanggah dengan syariat. Bahkan, Islam menggalakkan kita saling memberi hadiah agar kita saling berkasih-sayang.

Pilihlah Yang Rapuh atau Yang Teguh
Remajaku sayang,
Anda semua bijak-bijak belaka. Pilihlah mahukan pertunangan yang rapuh atau yang teguh. Anda boleh memilih sesuka hati. Namun bersedialah menghadapi impak di kemudian hari.