Lisan atau lidah manusia memang gemar membuat janji, tetapi
seringkali pula jiwa tidak ingin menepati janji yang dibuat oleh lisan
tadi. Maka dengan itu jadilah janjinya bohong atau janji yang
dimungkiri. Itu adalah tanda-tanda adanya sifat nifaq pada orang itu.
Allah telah berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman tepatilah janji-janji." (Surah l-Maidah : 1)
Allah s.w.t. telah memberikan setinggi pujian ke atas Nabi Ismail a.s. di dalam kitab-Nya yang mulia dengan firman-Nya:
"Sesungguhnya dia (Ismail) adalah benar janjinya." (Surah Maryam : 54)
Apabila Saiyidina Abdullah bin Umar telah hampir menemui ajalnya, beliau berkata:
"Sebenarnya
dulu ada seorang Quraisy telah meminang puteriku, dan aku telah
mengikat suatu perjanjian untuk menikahkan puteriku itu kepadanya. Demi
Allah aku tidak gemar menemui Tuhan, sedang sepertiga dari sifat nifaq
itu ikut bersama-samaku. Oleh itu saksikanlah, bahawasanya aku telah
menikahkan si Fulan itu dengan puteriku."
Diceritakan dari Abdullah bin Abul-Khansa’, katanya:
"Saya
pernah mengikat janji dengan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda diangkat
menjadi nabi. Ada barang yang saya janjikan kepadanya akan saya bawa ke
tempat yang telah dipersetujui, tetapi malangnya saya terlupa hari itu
dan juga esoknya. Maka saya mendatanginya pada hari ketiga, dan saya
dapati baginda masih tetap menunggu di tempatnya. Bila saya sampai, maka
baginda berkata:
"Wahai pemuda! Engkau telah menyakiti aku dengan janjimu, sebab saya berada di sini menunggu sejak tiga hari lalu."
Ibnu Mas’ud r.a. pula bila berjanji, niscaya dia akan berkata: "InsyaAllah."
Cara
beginilah yang lebih baik. Sesudah berkata InsyaAllah, jika ia memang
faham bahawa menepati janji itu adalah wajib, maka hendaklah ia menepati
janji itu, kecuali jika dihalangi oleh keuzuran. Akan tetapi jika
ketika membuat janji itu, hatinya telah bertekad untuk memungkirinya.
Maka itulah yang dinamakan sifat nifaq.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tiga
perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik,
sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim,
iaitu; bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri dan bila
menerima amanah dia khianati."
Sabda Baginda yang lain:
"Empat
perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi
munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu,
samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga dia menjauhinya
lagi: Jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia mungkiri, jika
membuat pengakuan dia belot dan jika menuntut dia curang."
Sifat-sifat
ini hampir-hampir tertimpa ke atas orang yang ketika berjanji, dia
siang-siang telah berazam untuk menyalahi janjinya ataupun yang
memungkiri janji tanpa apa-apa keuzuran.
Adapun orang yang berazam
untuk menepati janji, tiba-tiba tanpa disangka-sangka pula timbul suatu
keuzuran yang menghalangnya dari memenuhi janjinya, maka orang itu
tiadalah terkira seorang munafik meskipun pada lahirnya sifat
kemunafikan itu berlaku atas dirinya.
Namun sebaik-baiknya,
hendaklah dia cuba menghindarkan diri dari terkena sifat kemunafikan itu
sebagaimana dia menjauhkan dirinya dari hakikat kemunafikan juga; iaitu
apabila berjanji, cari jalan supaya keuzuran tidak akan berlaku tanpa
ada sebab yang benar-benar dharurat.
Sahabat.. ketahuilah. Apabila dimungkiri, ia sakit dan pedih. Jadi hindarilah dari memungkiri janji.
No comments:
Post a Comment